4 Januari 2017 - 06:29

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata bahawa persidangan damai Timur Tengah yang bakal dianjurkan di Paris mungkin akan menatijahkan sebuah resolusi anti-Israel yang baru di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA24) - Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berkata bahawa persidangan damai Timur Tengah yang bakal dianjurkan di Paris mungkin akan menatijahkan sebuah resolusi anti-Israel yang baru di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

"Terdapat beberapa petanda yang menunjukkan mereka akan cuba menukarkan keputusan yang dicapai di sana kepada satu lagi keputusan Majlis Keselamatan (PBB)," kata Netanyahu ketika perjumpaan dengan duta-duta Israel di al-Quds pada hari Selasa.

Pada 23 Disember lepas, Majlis Keselamatan PBB telah meluluskan Resolusi 2334 yang menuntut rejim Tel Aviv untuk menghentikan kesemua program pembinaan penempatan haram di kawasan Palestin yang didudukinya.

Di dalam sebuah usaha yang dianggap sia-sia oleh Netanyahu, Perancis merancang untuk menganjurkan sebuah persidangan pada 17 Januari ini dengan kehadiran 70 buah negara di mana mereka akan berbincang berkaitan proses damai Palestin-Israel.

"Oleh kerana itu, usaha utama kita adalah untuk mengelakkan sebuah lagi resolusi PBB, sebuah lagi resolusi Majlis Keselamatan," katanya.

Resolusi 2334 diluluskan setelah pentadbiran Obama enggan menggunakan veto sekaligus membenarkan resolusi tersebut diteruskan.